Sunday, September 6, 2009

Friday, September 4, 2009

PESANAN DARI NENEK KU...

Bila aku pandang sawah, teringat aku kepada arwah nenek aku.. Nenek suka membawa aku pergi bersiar-siar di tepi sawah setiap petang.. Katanya sawah itu ibarat pemikiran kita.. Macam mana luasnya sawah itu terbentang luas begitulah luasnya pemikiran kita.. Selalunya selepas nenek membawa aku jalan-jalan, nenek akan singgah di pondok buruk Arwah Haji Kasim.. Aku tengok ada tikar mengkuang yang tidak siap dianyam di situ.. Warna daun mengkuang ditikar itu agak pelik sedikit kerana ada perubahan warna daun diantara petak anyaman.. Lalu nenekku ambil 8 helai daun mengkuang dan terus menyambung anyaman tikar yang tidak siap itu.. Aku bertanyakan soalan kepadanya, kenapa nenek menambah anyaman tikar itu cuma guna 8 helai daun mengkuang sahaja sedangkan untuk menyiapkan anyaman itu tidaklah mengambil masa yang lama.. Nenek terus berkata, ini adalah peringatan kepadamu wahai cucuku.. Nenek tidak mahu apa yang engkau pelajari di dunia ini jadi seperti tikar mengkuang ini.. Bila tikar ini siap nanti warnanya tidak akan sama.. Anyaman yang lama sudah lusuh dan ada yang mula mereput.. Anyaman yang baru tetap segar tetapi akan mereput sedikit demi sedikit apabila dibiar lama.. Nenek menyoal aku semula, kau tahu kenapa pondok ini masih teguh walaupun sudah unsang? lalu aku menggelengkan kepala.. Nenek membalas, teguhnya pondok ini adalah kerna tiangnya yang kuat.. Begitulah juga dengan kita wahai cucuku.. Sambil memandang sawah nenek berpesan lagi kepadaku, ingatlah cucuku.. Janganlah engkau marah, kerna kemarahan kau akan membuatkan engkau buta.. Untuk mengelakkan engkau buta kau hendak lah sabar menempuh dugaan dunia.. Elakanlah diri engkau dari banyak bercakap kerna apabila kau banyak bercakap.. Engkau akan mendustakan dunia.. Bagi mengelakkan engkau mendustakan dunia kau hendaklah menghafal.. Itulah kelakuan nenek dan nenek akan ulang pesanan itu setiap kali membawaku bersiar-siar di sawah.. Sehingga sehari sebelum nenek menghembus nafas kali terakhir dia berkata, ingatlah pesananku wahai cucuku.. Engkau akan memimpin satu hari nanti.. Kekuatan seorang pemimpin itu adalah imannya.. Jika kuat imannya maka gemilanglah pimpinannya.. Malangnya umurku baru menjangkau 7 tahun.. Aku langsung tidak mengerti apa yang nenek maksudkan.. Semakin aku dewasa, pesanan nenek semakin pudar di ingatanku.. Hari ini, aku teringat kembali pesanan nenek setelah aku buta dan mendustakan dunia.. Aku gagal dalam memimpin hari ini adalah kerna aku melupakan pesanan yang nenek berikan kepadaku..

Monday, March 16, 2009

Hargai tubuh sendiri...

WANITA sering taksub dengan imej tubuh mereka. Berdiri saja di depan cermin dan dirasakan lemak di pelbagai tempat.

Siapa yang tidak inginkan perut langsing, pinggul kecil dan punggung padat malah ia membuatkan seseorang wanita berasa lebih yakin pada diri sendiri juga di mata umum.

Tetapi, obsesi tidak akan membawa anda kepada tubuh yang diinginkan sekali gus tidak mendorong diri untuk melakukan sebarang tindakan.

Justeru, langkah pertama adalah mula menerima diri sendiri dan mencintainya.
Hargai tubuh sendiri dan semua perkara yang sudah dilakukan untuk memperoleh tubuh sedemikian. Ikuti panduan berikut yang mungkin dapat membantu anda menghargai tubuh sendiri.

• Hindari perasaan untuk menilai diri di cermin

Cuba elak daripada membuat penilaian diri sendiri di hadapan cermin. Jika sedang melakukan senaman, cuba hindari fikiran daripada terlalu memberi tumpuan pada penampilan sebaliknya, fikir apa yang anda rasakan.


• Pakai pakaian yang membuatkan anda yakin pada diri sendiri

Cari pakaian terbaik untuk bentuk tubuh anda. Wanita cenderung mengenakan pakaian lebih besar untuk menutupi apa yang mereka miliki.


• Berhenti menimbang berat

Cuba elak daripada menimbang berat diri anda untuk sementara waktu. Anda tentu terkejut betapa bahagianya diri anda kerana tidak asyik memikirkan berat berlebihan.


• Tubuh adalah teman anda.

Fikirlah segala yang baik untuk kesihatan dan kecantikan tubuh. Hormati tubuh anda dan jangan berasa kecewa jika berasa anda tidak kelihatan cantik. Sebaliknya berpuas hati dengan bentuk tubuh yang dimiliki.


• Berhenti membandingkan diri sendiri

Sifat untuk meniru memang ada pada setiap manusia. Anda mungkin ingin meniru penampilan model bergaya di majalah. Namun, membandingkan diri anda secara terus-menerus dengan bentuk tubuh mereka mungkin kurang sesuai untuk anda. Belajarlah menghargai diri sendiri.

Thursday, March 5, 2009

Mahasiswa wajar kikis imej 'backbenchers'

ISTILAH 'backbenchers' mungkin diiktiraf di Parlimen. Ada juga kumpulan yang diwujudkan menggunakan nama itu.

Namun kewujudan 'backbenchers' di kalangan mahasiswa adalah perkembangan yang amat menyedihkan. Ini terutamanya apabila kita memandang dari perspektif kumpulan inilah yang akan menjadi pewaris generasi pada masa hadapan.

'Backbenchers' yang dimaksudkan di sini ialah sekumpulan pelajar yang amat menggemari kerusi belakang di dalam dewan kuliah.

Mereka ini jika datang ke kelas awal sekali pun, akan sentiasa duduk di barisan belakang, sebelakang yang boleh.

Tidak pasti apa sebenar motif mereka berkelakuan sedemikian. Namun golongan paling sinonim dengan barisan paling belakang ini ialah pelajar lelaki Melayu.

Setiap kali musim kemasukan pelajar baru ke institusi pengajian tinggi (IPT), statistik yang sama akan terus berulang. Pelajar perempuan terus mendominasi termasuklah angka 64.5 peratus bagi sesi pengajian 2008/2009.

Lebih parah, kebanyakan daripada baki yang tertinggal terlalu gemar berada di posisi pilihan iaitu yang paling belakang. Sama ada kerusi paling belakang ialah kerusi paling selamat daripada diajukan soalan, atau kerusi yang paling cepat untuk mereka keluar kelas, atau lokasi yang paling sesuai untuk melelapkan mata, hanya empunya diri sahaja yang tahu.

Tidak dinafikan penggemar kerusi belakang ada juga yang bijak dan berjaya dalam pelajaran, namun majoriti adalah sebaliknya.

Adakalanya ilmu yang ingin disampaikan oleh pensyarah tidak sampai. Bahkan ada juga yang tidak dapat didengar dengan jelas akibat jarak yang terlalu jauh lebih-lebih lagi di dalam dewan kuliah yang besar.

Jauh sekali untuk bertanya soalan. Kelompok ini biasanya akan tertinggal dan ditinggal oleh arus pemahaman pelajar di hadapan yang sering memperoleh peluang untuk bertanya dan menjawab soalan.

Sebagai sebuah agama yang menjadi panduan sepanjang hayat, Islam mengajar perkara yang sebaliknya. Dalam sesebuah majlis ilmu, para penuntut digalakkan berada di ruangan paling hadapan.

Semakin hampir seorang murid dengan seorang gurunya, maka semakin berkat ilmu yang diperolehnya. Di dalam solat juga kita diajar supaya memenuhkan saf depan dahulu. Tepat sekali bagi golongan lelaki yang menjadi ketua dalam banyak perkara.

Bahkan, pahalanya juga tidak sama. Sesungguhnya mempraktikkan apa yang diajar sewaktu bersolat itu benar-benar menghampirkan kita ke arah kejayaan, sekiranya kita menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Namun, apa yang lebih membanggakan ialah jika mereka mampu meneruskan semangat untuk mencapai kecemerlangan di peringkat tertinggi. Mereka juga menunjukkan motivasi berterusan dan bukan hanya mensasarkan kelulusan cukup-cukup makan sahaja.

Ayuh mahasiswa lelaki sekalian, sahutlah cabaran ini dengan membuktikan bahawa anda tidak termasuk dalam golongan ini.

Kembalikan kebenaran kata-kata hikmat negarawan bahawa pemuda sememangnya harapan bangsa. Pemuda akan mendepani apa jua cabaran mendatang dengan semangat waja. Pemuda juga akan menjawab apa jua soalan mengikut kemampuan dan bukan hanya berdiam diri di barisan belakang.